AGENDA

Ekonomi terkesan jika konflik Palestin-Israel libatkan negara Arab serantau

28 Nov 2023, 3:56 AM
Ekonomi terkesan jika konflik Palestin-Israel libatkan negara Arab serantau

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Pertumbuhan ekonomi Malaysia khususnya akan terkesan sekiranya skala konflik Palestin-Israel semakin melebar dan melibatkan negara Arab serantau, menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu menjelaskan jika meluas melibatkan negara Arab serantau, konflik terbabit akan memberi kesan yang signifikan, terutama kepada kenaikan harga minyak dan gas dunia serta gangguan bekalan rantaian perdagangan.

“Tekanan ini secara tidak langsung akan memberikan kesan terhadap inflasi dan pertumbuhan ekonomi dunia amnya dan pertumbuhan ekonomi Malaysia khususnya,” menurut kementerian itu melalui jawapan bertulis Dewan Negara bertarikh 27 November yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Walau bagaimanapun, secara amnya, konflik itu tidak memberi kesan langsung kepada dunia kerana kedua-dua negara bukanlah merupakan negara dagang utama dunia, tambahnya.

Kementerian Ekonomi menjelaskan demikian bagi menjawab soalan Senator Noorita Sual mengenai kesan dari sudut ekonomi terhadap rakyat ekoran pendirian tegas kerajaan bagi isu Palestin.

Konflik Asia Barat antara Isreal dan Palestin yang bermula pada 7 Oktober 2023 sedang berlarutan sehingga kini melebihi tempoh sebulan, menurut kementerian itu.

Kementerian itu memaklumkan, menurut Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Israel berjumlah US$394.2 bilion atau bersamaaan 0.44 peratus kepada KDNK dunia, manakala KDNK Palestin berjumlah US$15.7 bilion (0.02 peratus).

Selain itu, jumlah perdagangan Israel adalah sebanyak US$180.9 bilion atau bersamaan 0.4 peratus kepada dunia, manakala Palestin berjumlah US$9.5 bilion (0.02 peratus), jelasnya.

Kementerian itu memaklumkan bahawa Palestin merupakan rakan dagang Malaysia yang ke-187 dengan jumlah dagangan sebanyak RM13.7 juta pada 2022.

Eksport utama Malaysia ke Palestin adalah minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, produk perkilangan berasaskan minyak sawit and produk getah manakala, import dari Palestin ke Malaysia adalah kurma, minyak zaitun dan produk elektrik dan elektronik, menurut kementerian itu.

Kementerian juga menambah, pada ketika ini, sebagai tanda sokongan kemanusiaan kepada Palestin, sebahagian rakyat Malaysia secara individu telah memilih untuk memboikot perniagaan syarikat yang didakwa ada kaitan dengan Israel.

“Pemboikotan ini tidak memberikan kesan yang signifikan kepada ekonomi negara memandangkan sumbangan subsektor makanan dan minuman kepada KDNK adalah kecil, iaitu 2.4 peratus.

“Namun, kerajaan menyedari bahawa terdapat kesan kepada pekerja yang terlibat dalam sektor ini,” jelasnya.

Dianggarkan sebanyak 50,000 pekerja yang bekerja di syarikat yang terkait dengan pemboikotan tersebut dalam sektor makanan dan minuman.

“Melalui kesan pengganti, pengguna cenderung beralih kepada perniagaan yang lain seperti perniagaan runcit makanan berjenama tempatan.

“Secara tidak langsung, kecenderungan ini menggalakkan pengguna untuk beralih kepada produk keluaran tempatan dan seterusnya meningkatkan aktiviti ekonomi domestik,” menurut Kementerian Ekonomi.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619