PBT

MBSJ anjur kejohanan lumba basikal pada 10 Disember, sasar 300 peserta

23 Nov 2023, 12:10 AM
MBSJ anjur kejohanan lumba basikal pada 10 Disember, sasar 300 peserta
MBSJ anjur kejohanan lumba basikal pada 10 Disember, sasar 300 peserta

SUBANG JAYA, 23 NOV: Kejohanan Selangor Criterium Series X Subang Jaya kembali lagi buat kali kedua pada 10 Disember dengan menyasar penyertaan 300 pelumba basikal daripada peringkat belia hingga elit.

Berlangsung di hadapan pusat beli-belah Subang Parade di sini, Datuk Bandar Subang Jaya berkata kejohanan sempena Hari Tanpa Kenderaan (HTK) Subang Jaya edisi ke-16 bakal menjadi kejohanan popular dan dinanti penggiat sukan itu.

“Acara dengan kerjasama Selangor Youth Community ini merupakan kesinambungan daripada siri kejohanan berbasikal yang berlangsung semasa program HTK Subang Jaya pada Oktober lalu.

“Kejohanan ini bukan hanya medium mempromosikan kesihatan dan gaya hidup aktif, tetapi menyumbang kepada pembangunan komuniti berbasikal tempatan,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan cyclingselangor.com.my dengan hadiah wang RM1,000 menanti pemenang mengikut beberapa kategori.

[caption id="attachment_614850" align="aligncenter" width="700"] Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim (tengah) dan Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali (kiri) menunjukkan poster Kejohanan Selangor Criterium Series X Subang Jaya serta Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya edisi ke-16 selepas mesyuarat penuh MBSJ di ibu pejabat MBSJ pada 22 November 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI[/caption]

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat penuh MBSJ di sini, Mohd Fauzi memaklumkan HTK Subang Jaya yang diadakan di lokasi sama termasuk Aeon Big Subang Jaya menyajikan pelbagai aktiviti menarik.

Beliau berkata aktiviti itu meliputi kayuhan santai Subang Jaya Urban Ride 35km, memanah, bola sepak jalanan, bazaar sarapan pagi, pemeriksaan kesihatan dan mata percuma.

Turut diadakan, katanya, tarian kecergasan, demonstrasi memasak oleh chef selebriti Sakya, pameran pelbagai agensi, demonstrasi khas Tiger Platoon daripada Skuad Khas Pasukan Gerakan Am dan polis serta cabutan bertuah.

“Seluruh komuniti Subang Jaya dialu-alukan untuk hadir memeriahkan program ini sekali gus menjadikan MBSJ sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619