AGENDA

Darren raih kemenangan penting Harimau Malaya tunduk Taiwan 1-0

21 Nov 2023, 3:00 PM
Darren raih kemenangan penting Harimau Malaya tunduk Taiwan 1-0

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Penyerang Darren Lok memastikan Malaysia meneruskan momentum kemenangan selepas menundukkan Taiwan 1-0 pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taipei, malam ini.

Pemain Sabah FC yang dimasukkan pada babak kedua menggantikan Paulo Josue, muncul wira skuad Harimau Malaya apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72 untuk membantu pasukan meraih tiga mata berharga di tempat lawan.

Pada aksi kedua kumpulan itu, Ketua Jurulatih Kim Pan Gon membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama pasukan yang menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional, Bukit Jalil minggu lepas dengan menurunkan Junior Eldstal, Mohd Afiq Fazail, Paulo Josue dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Beraksi di atas permukaan padang yang tidak begitu memuaskan, skuad Harimau Malaya dan Taiwan kendalian Gary White masing-masing bergelut menampilkan aksi memberangsangkan apabila lebih bergelut mencari rentak permainan sepanjang babak pertama.

Namun, pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim mensia-siakan peluang keemasan untuk meletakkan Malaysia di depan selepas gagal menyempurnakan umpanan Arif Aiman Mohd Hanapi yang menyaksikan sungkitannya terkena tiang pada minit ke-43.

Bersambung babak kedua, kesilapan pertahanan lawan Chen Ting-Yang mengeluarkan bola dalam kotak penalti pada minit ke-51 hampir membawa padah kepada tuan rumah, tetapi voli Muhammad Akhyar melambung tinggi melewati palang.

Berbaki 30 minit sebelum wisel penamat, Pan Gon yang terkenal dengan percaturan ‘magis’, membawa masuk Darren dan Endrick Dos Santos bagi menggantikan Mohd Afiq pada minit ke-62 dalam usaha mengubah rentak rentak permainan dan kedudukan.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila Darren menyumbat gol yang dicari-cari ketika permainan berbaki 18 minit selepas beliau yang tidak dikawal tenang merembat bola muntah tampanan kurang kemas penjaga gol Taiwan, Pan Wen-Chieh ketika menepis percubaan leret Endrick dari sebelah kanan.

Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah cuba bangkit memburu gol penyamaan namun kekebalan benteng pertahanan negara yang menunjukkan disiplin bertahan dengan baik sepanjang perlawanan berjaya mematahkan gerakan ke arah pintu gol sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kejayaan menumbangkan Taiwan itu menyaksikan Malaysia menamatkan badi kemenangan di Taipei selepas tewas dalam tiga pertemuan terakhir di sana sejak 2000.

Selepas dua perlawanan, Malaysia kini berada di kedudukan teratas Kumpulan D dengan mengumpul enam mata sementara Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Satu lagi aksi Kumpulan D membabitkan Oman dan Kyrgyzstan dijadual berlangsung 10 malam ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619