AGENDA

Kanak-kanak cuba ambil bola dalam bilik janakuasa TNB melecur seluruh badan

16 Nov 2023, 12:55 PM
Kanak-kanak cuba ambil bola dalam bilik janakuasa TNB melecur seluruh badan

BALIK PULAU, 16 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki melecur keseluruhan badan selepas terkena renjatan elektrik akibat tersentuh perkakasan elektrik di dalam bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Seri Bayu, Bayan Lepas di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.50 petang itu, mangsa Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, 12, dikatakan bermain bola sepak bersama rakan-rakannya sebelum bola termasuk ke dalam kawasan bilik jana kuasa TNB itu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak itu masuk ke kawasan bilik jana kuasa tersebut untuk mengambil bola dan dikatakan terjatuh sebelum terkena renjatan elektrik.

“Dia telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Hirman Mat Rodzi berkata jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru telah dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.55 petang.

"Apabila pihak bomba tiba, mendapati seorang kanak-kanak melecur keseluruhan badan akibat tersentuh perkakasan elektrik di dalam bilik jana kuasa elektrik TNB.

"Mangsa telah dibawa oleh pihak perubatan untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Hirman berkata pihaknya membuat penilaian situasi bagi memastikan tiada lagi keberbahayaan di kawasan itu sebelum menyerahkan kepada pihak TNB untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya operasi yang melibatkan 10 pegawai dan anggota bomba itu tamat pada 5.43 petang.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619