ADN

ADN Meru cadang syarat bantuan RM3,600 setahun ditambah baik, lebih ramai terima manfaat

16 Nov 2023, 9:00 AM
ADN Meru cadang syarat bantuan RM3,600 setahun ditambah baik, lebih ramai terima manfaat

SHAH ALAM, 16 NOV: Wakil rakyat Meru mencadangkan syarat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) RM3,600 setahun ditambah baik supaya lebih ramai rakyat menerima manfaat.

Mariam Abdul Rashid berkata Kerajaan Negeri mengambil inisatif menyediakan bantuan RM300 setiap bulan berikutan menyedari cabaran ekonomi dihadapi rakyat selepas pandemik Covid-19.

“Kerajaan Negeri mengambil pendekatan inklusif dengan memperluas manfaat program ini untuk dirasai seluruh isi keluarga. Jumlah bantuan turut digandakan daripada RM200 pada 2021 kepada RM300 pada 2022 dengan tambahan penerima manfaat kepada 30,000 keluarga.

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar meneruskan pemberian Bingkas bagi 2024, namun mencadangkan penerima manfaat diperluas kepada individu yang belum pernah menerima bantuan Bingkas sebelum ini,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ketika membahas Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2024, Mariam turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan kuota bagi ketua keluarga orang kurang upaya yang mempunyai tanggungan serta ibu bapa yang mempunyai anak istimewa bagi memohon Bingkas.

“Saya juga mencadang agar dilaksana program pemerkasaan dalam tempoh enam bulan terakhir tempoh penerimaan Bingkas bagi memastikan kemandirian dan kemampanan hidup penerima manfaat setelah tempoh penerimaan tamat,” katanya.

Ketika membentang Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Bingkas diteruskan tahun hadapan dengan peruntukan RM108 juta.

Katanya, inisiatif itu diteruskan berikutan keperluan untuk meningkatkan daya ketahanan bagi keluarga di negeri ini yang terkesan dengan cabaran ekonomi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619