AGENDA

SIBS, SAS angkat nama Selangor destinasi pelaburan, bawa pulangan besar

16 Nov 2023, 8:26 AM
SIBS, SAS angkat nama Selangor destinasi pelaburan, bawa pulangan besar

SHAH ALAM, 16 NOV: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dan Pameran Udara Selangor (SAS) berjaya mengangkat nama negeri ini sebagai destinasi tumpuan pelabur antarabangsa.

Wakil rakyat Balakong Ong Chun Wei berkata penganjuran kedua-dua program itu dianggap sebagai pelaburan berimpak besar oleh Kerajaan Selangor untuk merancakkan ekonomi sekali gus membawa pulangan besar.

"SIBS dan SAS menjadi kebanggaan kepada negeri dan berjaya membawa nama Selangor ke peringkat antarabangsa serta merancakkan ekonomi negeri.

"Buktinya SIBS 2023 telah mencatatkan potensi transaksi sebanyak RM4.9 bilion melalui 32 perjanjian persefahaman manakala SAS pula merekodkan 28 perjanjian persefahaman dengan nilai RM823 juta telah dimeterai.

“Peruntukan kepada kedua-dua program ini bukan setakat perbelanjaan tetapi satu pelaburan berimpak besar yang akan membawa pulang hasil kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sesi perbahasan sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai adalah langkah tepat aoabila berjaya menyelesaikan 101 projek rumah.

“Memiliki rumah sendiri merupakan impian bagi kebanyakan individu yang sekali gus bakal menjadi komitmen kewangan terbesar bagi sesebuah keluarga. Namun, di sebalik keindahan ini, ramai juga yang kecewa apabila projek pembinaannya terbengkalai.

“Isu ini menghimpit nasib pembeli apabila pembeli terbabit ini masih terpaksa membayar ansuran pinjaman bank, malahan terpaksa menyewa pula di tempat lain.

“Penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai satu inisiatif yang baik apabila sebanyak 101 projek telah diselesaikan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2024 melibatkan peruntukan RM2.53 bilion dengan RM1.33 bilion atau 52.6 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.2 bilion bagi pembangunan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619