AGENDA

JPN tidak lantik ejen jalan urus niaga, perkhidmatan

15 Nov 2023, 8:14 AM
JPN tidak lantik ejen jalan urus niaga, perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak mempunyai ejen atau orang tengah untuk mewakilinya bagi setiap urus niaga dan perkhidmatan, sebaliknya orang ramai boleh hadir ke mana-mana 212 pejabat JPN untuk mendapatkan maklumat atau khidmat nasihat, kata Ketua Pengarahnya Zamri Misman.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa akaun di platform media sosial yang menawarkan khidmat berbayar untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh JPN.

Katanya, pihak tidak bertanggungjawab itu didapati memanipulasi platform media sosial untuk memperdaya orang awam terutamanya pendatang asing yang baru tiba dan tidak memahami tatacara rasmi pemilikan dokumen pengenalan diri di Malaysia.

“Akaun yang diwujudkan menggunakan poster dan gambar rasmi JPN yang boleh didapati secara umum di internet.

“Hasil risikan mendapati modus operandi sindiket ini bermula dengan memaparkan hantaran di Facebook yang menawarkan perkhidmatan menguruskan permohonan di JPN dengan kadar bayaran tertentu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zamri berkata hantaran-hantaran itu dipaparkan dalam tempoh jangka masa yang pendek, bagi mengelakkan kegiatan ini dihidu oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata selain mengeluarkan poster peringatan berkaitan scammer di media sosial rasmi JPN, pihaknya juga sentiasa memantau dan melakukan risikan ke atas halaman atau akaun media sosial yang didapati cuba menipu masyarakat dengan menggunakan nama jabatan itu.

“Pengguna media sosial boleh mengambil tindakan dengan melaporkan kepada pihak berwajib terhadap sebarang halaman yang meragukan dan bertentangan dengan garis panduan komuniti platform media sosial berkenaan bagi mengelakkan lebih ramai pihak terpedaya.

Orang ramai boleh merujuk soalan-soalan lazim di laman web rasmi JPN melalui pautan http://www.jpn.gov.my/my/soalan-lazim/soalan-lazim atau hubungi JPN di talian 03-8880 7077 atau e-mel ke pro@jpn.gov.my

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619