AGENDA

Dana RM3 juta mampu jayakan 10 inisiatif kembang sektor halal Selangor

11 Nov 2023, 6:40 AM
Dana RM3 juta mampu jayakan 10 inisiatif kembang sektor halal Selangor

SHAH ALAM, 11 NOV: Peruntukan RM3 juta tahun depan mampu merealisasi 10 inisiatif merangkumi lima teras yang dirancang bagi memperkasa dan mengembangkan sektor halal Selangor ke tahap lebih tinggi.

Pemangku ketua pegawai eksekutif HIS Toyyiba Sdn Bhd (Halal International Selangor) berkata inisiatif digariskan selaras aspirasi Jawatankuasa Tetap Industri Halal yang dikemudi EXCO Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Menurut Muhammad Syaril Showkat Ali, program dirangka merangkumi inovasi semakan digital pantas pensijilan halal selain program galakan pensijilan halal kepada semua pemain industri supaya mampu menembusi pasaran dalam ekonomi halal negeri dan antarabangsa.

“Bawah teras promosi halal Selangor pula memfokuskan penganjuran Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) yang dijadual pada Julai 2024. Beberapa perkara ditekankan melaluinya iaitu kecekapan proses pensijilan halal, kebolehkesanan digital halal, kepentingan halal logistik selain penglibatan Selhac di peringkat Asean,” katanya dihubungi hari ini.

Beliau menambah inisiatif turut menumpukan inovasi pendigitalan halal dengan dana disalur akan digunakan bagi pembangunan sistem prapermohonan dan pembaharuan sijil halal, sejajar agenda memendekkan tempoh pemohon mendapatkan pensijilan daripada 60 hari kepada 23 hari.

Selain itu, katanya beberapa pangkalan data bahan dan ramuan halal meliputi maklumat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan dibangunkan secara komprehensif bagi mengenal pasti kategori serta kluster ekonomi halal di Selangor.

“Sementara bawah teras pembelajaran ekosistem halal, inisiatif digariskan ialah pendedahan dan pembelajaran teknologi inovasi halal. Sesi lawatan kerja ke luar negara akan dijalankan bagi melihat teknologi baharu serta bertukar teknologi,” katanya lagi.

Semalam, Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 mengumumkan dana RM3 juta bagi memperkasa industri halal termasuk penganjuran Selhac.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata subsektor halal seperti fesyen, farmaseutikal, kosmetik, serta rekreasi perlu diteroka dan beberapa program berikut akan diusahakan

Menurutnya, ekosistem halal dapat diterokai dengan lebih luas mengambil kira peningkatan populasi beragama Islam terutama di negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619