AGENDA

Jajaran rel majukan pantai barat negeri, buka perbandaran baharu

10 Nov 2023, 11:50 AM
Jajaran rel majukan pantai barat negeri, buka perbandaran baharu

SHAH ALAM, 10 NOV: Bagi menggalakkan rakyat Selangor menggunakan pengangkutan awam, Kerajaan Negeri berhasrat membangunkan Jajaran Rel Kita Selangor di pantai barat negeri.

Dato' Menteri Besar berkata jaringan kereta api itu akan bermula dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang, dan Sabak Bernam, selain meneroka potensi jajaran sedia ada yang belum dibina iaitu dari Kuang ke Kuala Selangor.

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, projek infrastruktur itu akan dimulakan menerusi kajian kebolehlaksanaan yang akan mengambil kira pelbagai aspek, dengan peruntukan RM3 juta.

"Projek infrastruktur terutamanya jaringan rel dan bas mampu menawarkan peluang pekerjaan, bukan sahaja pada peringkat pembinaan infrastruktur, tetapi juga sepanjang jangka hayat pengoperasian projek terutama dari segi penyelenggaraan.

"Jajaran Rel Kita Selangor di kawasan pantai barat dapat membangunkan kawasan Kapar, Jeram, Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sekinchan, Sabak sehingga ke sempadan Perak termasuk dengan pembukaan perbandaran baharu di jajaran ini," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di sini hari ini.

Selain pembinaan jajaran kereta api, Amirudin menambah, Kerajaan Negeri akan mengoptimumkan laluan pejalan kaki selain menambah perkhidmatan bas dan van awam.

Jelasnya, penggunaan Bas Smart Selangor dan perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal diperkukuh dengan peruntukan RM5 juta pada tahun depan.

Malah Amirudin berkata, laluan pejalan kaki yang selamat dan selesa dengan fungsi pengudaraan serta panel solar akan dibina tahun depan melalui projek rintis dilaksana Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Laluan pejalan kaki bermula dari Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke pusat bandar Shah Alam itu akan dibina dengan peruntukan RM3 juta," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619