AGENDA

Program OKU celik digital pastikan tiada golongan terpinggir dalam dasar kerajaan

5 Nov 2023, 12:00 PM
Program OKU celik digital pastikan tiada golongan terpinggir dalam dasar kerajaan

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Program Pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU) Celik Digital adalah salah satu usaha kerajaan untuk menghubungkan komuniti OKU dengan agensi kerajaan selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu juga diperkenalkan bagi memastikan tiada golongan masyarakat dalam negara ini terpinggir dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan.

Fahmi berkata program itu turut menjadi platform untuk mempromosikan inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), khususnya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan komuniti OKU memperoleh manfaat dan pelbagai faedah.

“Dunia digital bertindak sebagai pemboleh cara yang memberi peluang kepada komuniti ini berkomunikasi tanpa kekangan.

“Justeru, pelaksanaan program pembangunan dan pemerkasaan digital belia OKU dilakukan bagi membolehkan mereka menggunakan peluang sebaik mungkin dan meningkatkan kebolehpasaran OKU dalam pekerjaan,” katanya ketika berucap merasmikan program itu di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, terdapat empat objektif utama yang ditekankan menerusi Program OKU Celik Digital yang merangkumi peningkatan kesedaran serta advokasi kepada komuniti OKU, pendedahan kepada komuniti berhubung kewaspadaan jenayah siber, mendidik dan melindungi pengguna internet daripada risiko dan ancaman dalam talian serta meningkatkan tahap literasi digital masyarakat.

“Kesemua objektif ini dicapai melalui perkongsian beberapa modul yang merangkumi tiga aspek iaitu kesedaran internet, keusahawanan digital dan pemerkasaan digital,” katanya.

Fahmi berkata modul-modul tersebut disampaikan oleh beberapa agensi kerajaan dan swasta yang antaranya terdiri daripada MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Shopee.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619