AGENDA

Malaysia guna pengaruh peringkat antarabangsa, main peranan aktif selesai kemelut Palestin

4 Nov 2023, 8:49 AM
Malaysia guna pengaruh peringkat antarabangsa, main peranan aktif selesai kemelut Palestin

Oleh Rosmalis Anuar

PUTRAJAYA, 4 NOV: Malaysia akan terus menggunakan pengaruhnya di peringkat antarabangsa dan memainkan peranan aktif bersama-sama dengan negara lain dalam mencari jalan penyelesaian segera bagi kemelut di Gaza.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau akan melawat India esok dan seterusnya ke Qatar sebelum ke beberapa negara lain dalam usaha berterusan ke arah menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh rejim Israel.

"Mungkin ada yang anggap Malaysia sebagai sebuah negara kecil, tetapi dalam konteks pengaruh Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), G77, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Global South, nama Malaysia sentiasa diberikan keutamaan dan suara Malaysia seringkali diminta," katanya ditemui dalam program Hari Wisma Putra, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali supaya Malaysia memainkan peranan yang lebih besar dengan menggalakkan negara lain untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Palestin.

Mengenai keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin pada Rabu, Zambry berkata Malaysia sedang melihat langkah seterusnya yang boleh diambil bersama negara lain.

"Saya rasa ini adalah sesuatu yang perlu kita perhatikan secara serius kerana ia tidak hanya akan memberi kesan kepada Malaysia tetapi juga negara lain juga," katanya.

Zambry sebelum ini berkata pihaknya akan melihat secara terperinci terlebih dahulu kandungan rang undang-undang berkenaan sebelum melaksanakan apa-apa tindakan susulan.

Lebih 9,000 rakyat Palestin terkorban dalam serangan tentera penceroboh Israel sejak 7 Oktober, manakala lebih 32,000 lagi cedera dan lebih 2,000 masih hilang.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619