AGENDA

Seorang maut, 12 cedera kemalangan kereta, van bawa anak yatim

4 Nov 2023, 7:04 AM
Seorang maut, 12 cedera kemalangan kereta, van bawa anak yatim

KOTA TINGGI, 4 NOV: Seorang lelaki maut manakala 12 yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan van membawa anak yatim di Kilometer 9.5 Jalan Sungai Sayong - Tenggara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata pemandu kereta jenis Nissan Sentra Aminuddin Sanusi, 54, meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Beliau berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Aminuddin yang dalam perjalanan dari arah Jalan Bandar Tenggara menuju ke Kota Tinggi cuba untuk memotong, sebelum memasuki laluan bertentangan lalu melanggar van jenis Kia Pregio itu.

"Pemandu van berusia 41 tahun dan kesemua 11 penumpang terdiri tujuh lelaki dan empat perempuan berusia antara sembilan hingga 15 tahun tahun dari Pertubuhan Rumah Anak Yatim Bandar Tenggara cedera dan dirujuk ke Hospital Kulai untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hussin kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tenggara Pegawai Bomba Kanan II Awang Ismail Awang Hanafi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.37 petang, sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota digegaskan ke lokasi.

"Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu kereta (Aminuddin) tersepit dan Pasukan Keluaran Operasi bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan.

"Kesemua mangsa yang menaiki van termasuk pemandunya yang cedera dibawa ke Hospital Kulai dengan menaiki ambulans," katanya menambah operasi tamat sepenuhnya pada 8.31 malam tadi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619