AGENDA

Mangsa banjir Perak meningkat, 386 orang ditempatkan di empat PPS

2 Nov 2023, 2:04 AM
Mangsa banjir Perak meningkat, 386 orang ditempatkan di empat PPS

IPOH, 2 NOV: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 386 orang daripada 111 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 373 orang daripada 107 keluarga, malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kerian dan Hilir Perak.

Menurut sekretariat itu di Kerian, 100 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu.

"Di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 185 penduduk manakala 44 orang berada di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong menurun, namun masih berada pada paras bahaya apabila merekodkan ketinggian 3.97 meter berbanding paras normal iaitu dua meter.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Selain itu, laluan F 193 Jalan Proton City di daerah Mualim juga terhalang di kedua-dua arah dan ditutup kepada kenderaan akibat tanah runtuh, manakala di Kerian laluan FT 147 Jalan Selama hanya dibuka kepada kenderaan berat dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619