AGENDA

PM gulung Belanjawan 2024 esok, gariskan usaha rancak semula ekonomi negara

1 Nov 2023, 1:34 PM
PM gulung Belanjawan 2024 esok, gariskan usaha rancak semula ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, esok.

Perbahasan peringkat dasar mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian yang lain telah dilaksanakan dalam tempoh lapan hari bermula 16 Oktober, disusuli penggulungan selama empat hari mulai 30 Oktober.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijangka memberikan penjelasan lanjut mengenai beberapa perkara yang diumumkannya ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lepas termasuk pelaksanaan dasar gaji progresif.

Beliau dijangka menggariskan mekanisme bagi sistem gaji progresif itu.

Sesi penggulungan esok juga akan menyaksikan Perdana Menteri menjelaskan usaha yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk melaraskan semula ekonomi negara ke arah yang lebih kukuh, merancakkan sektor perniagaan serta mencapai keseimbangan sokongan fiskal dan perbelanjaan berhemat.

Belanjawan 2024 bertemakan 'Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia, dengan RM303.8 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka.

Antara inti pati Belanjawan 2024 adalah defisit fiskal 2024 diunjurkan berkurangan kepada 4.3 peratus daripada sasaran 5.0 peratus pada tahun ini.

Kerajaan juga akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac, 2024.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619