AGENDA

Buli, tangani jenayah siber antara isu Dewan Rakyat hari ini

1 Nov 2023, 12:20 AM
Buli, tangani jenayah siber antara isu Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Persoalan berhubung usaha mengatasi masalah buli di sekolah dan langkah kerajaan meningkatkan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani trend jenayah siber antara isu yang akan dibincangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, persoalan mengenai isu buli di sekolah yang semakin berleluasa akan diajukan oleh Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (HARAPAN-Balik Pulau) kepada Menteri Pendidikan dalam sesi soal jawab lisan.

Pada sesi sama, Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) dijadualkan bertanya kepada Menteri Dalam Negeri berhubung langkah kerajaan dalam meningkatkan kelengkapan dan kemampuan PDRM bagi menangani trend jenayah siber.

Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) pula minta Menteri Kewangan menyatakan inisiatif kerajaan untuk menggembleng kewangan hijau Islam (islamic green finance) bagi menampung sebahagian pembiayaan menjayakan agenda negara karbon neutral menjelang 2050 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Sementara itu, hal berkenaan jumlah kanak-kanak bawah seliaan Institusi Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang masih belum mendapat dokumen pengenalan diri akan dibangkitkan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Usai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat menyambung semula sesi penggulungan bagi peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 oleh beberapa kementerian.

Penggulungan oleh kementerian itu dijadual berlangsung selama empat hari bermula Isnin dan seterusnya diikuti perbahasan rang undang-undang tersebut bagi peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 Nov.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt hingga 30 Nov.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619