AGENDA

Masih ramai pemandu tegar langgar peraturan, akta JPJ

31 Okt 2023, 3:18 AM
Masih ramai pemandu tegar langgar peraturan, akta JPJ

JITRA, 31 OKT: Kesedaran dan pematuhan pemandu terhadap peraturan dan akta-akta terutamanya membabitkan kenderaan komersial masih berada pada tahap yang rendah, kata Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan.

Beliau berkata akta berkenaan termasuk Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

"JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu kenderaan komersial termasuk mana-mana pengguna jalan raya yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

"Oleh itu, JPJ menggesa semua pihak untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, termasuk meningkatkan tahap kawal selia keselamatan operasi kenderaan komersial bagi memastikan ekosistem jalan raya sentiasa selamat kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Op Khas Kenderaan Komersial di Plaza Tol Jitra di sini malam tadi, yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Sementara itu, Lokman berkata melalui Op Patuh Khas 2023 sepanjang bulan ini, pihaknya telah memeriksa 321,263 kenderaan termasuk kenderaan komersial.

"Hasil pemeriksaan dan pengauditan dalam tempoh 1 hingga 30 Oktober, sebanyak 73,296 notis dikeluarkan kepada pihak syarikat, pemilik dan pemandu atas pelbagai kesalahan kegagalan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata daripada 73,296 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan, 4,515 ialah kesalahan lebih muatan, kesalahan teknikal (19,905), tiada lesen memandu yang sah (11,813), tiada lesen vokasional (6,085), LKM tamat tempoh (9,947), tiada insurans (6,626) dan kesalahan utama lalu lintas (5,762).

“Tiada lesen yang sah ini ialah kesalahan yang sangat serius kerana kebolehan mereka (pemandu) diragukan untuk berada di jalan raya … tiada lesen vokasional pula tidak layak pandu kenderaan komersial.

"JPJ juga telah menyita sebanyak 705 kenderaan, 16 daripadanya melibatkan kesalahan lebih muatan yang ekstrem," katanya dan menambah penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619