AGENDA

BNM: Masih ramai kurang endah urus kewangan, amal sikap 'jangka pendek'

28 Okt 2023, 7:58 AM
BNM: Masih ramai kurang endah urus kewangan, amal sikap 'jangka pendek'

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Sebilangan besar rakyat Malaysia masih bersikap “jangka pendek” dalam pengurusan kewangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata ramai rakyat Malaysia juga bersikap kurang endah dalam menguruskan risiko kewangan masing-masing, termasuk dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka.

“Hampir separuh rakyat Malaysia sukar menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan dan satu daripada tiga rakyat kita tidak berminat untuk ambil tahu mengenai insurans dan takaful,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Celik Kewangan (KCK) Johor hari ini.

Abdul Rasheed berkata apa yang membimbangkan ialah peningkatan pengetahuan dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak seiring dengan sikap dan amalan pengurusan kewangan mereka.

Beliau berkata statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan ramai yang terpaksa berhutang apabila memerlukan wang di waktu menghadapi kecemasan.

Manakala satu daripada tiga rakyat Malaysia merasa terbeban dengan hutang walaupun kebanyakan daripada mereka tergolong dalam kalangan yang mempunyai pendapatan yang berpatutan, katanya.

“Kaji selidik yang dijalankan juga menunjukkan 37 peratus daripada rakyat Malaysia berkongsi kata laluan dan nombor pin mereka kepada keluarga dan rakan,” tambah Abdul Rasheed.

Justeru, beliau berkata pengetahuan tentang pelbagai produk kewangan dan kesesuaiannya seperti memahami cara mengurus hutang, memahami risiko dan pulangan sesuatu pelaburan serta langkah-langkah untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa scam atau penipuan kewangan, merupakan kemahiran yang harus ada pada semua.

“Masyarakat celik kewangan bukan sahaja berpeluang untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing, malah berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

BNM, dengan kerjasama ahli dan rakan kerjasama Jaringan Pendidikan Kewangan, serta industri kewangan kini sedang menganjurkan Karnival Celik Kewangan (KCK), dengan KCK Johor berlangsung mulai 27 hingga 29 Okt, 2023.

Matlamat KCK adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan celik kewangan dan menggalakkan rangkuman kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619