BERITA UTAMA

PLKN 3.0 teras lahir pewaris negara kaya perpaduan, insaniah

24 Okt 2023, 2:00 AM
PLKN 3.0 teras lahir pewaris negara kaya perpaduan, insaniah
PLKN 3.0 teras lahir pewaris negara kaya perpaduan, insaniah
PLKN 3.0 teras lahir pewaris negara kaya perpaduan, insaniah

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Hasrat kerajaan melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dilihat mampu menjadi teras dalam melahirkan pewaris negara yang kaya nilai perpaduan, integriti dan insaniah.

Rata-rata pakar dan bekas pelatih PLKN berpandangan inisiatif kerajaan itu tepat pada masanya dan penting, memandangkan generasi muda hari ini terdedah kepada pelbagai pengaruh asing negatif susulan perkembangan teknologi.

Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Noor Mohamad Shakil Hameed berkata sebuah program bersepadu pada peringkat kebangsaan seperti PLKN amat diperlukan bagi membentuk semangat nasionalisme mengikut acuan negara.

“Kita tidak mahu golongan belia yang ada terus hanyut dan menjadi hamba 'gadget' tanpa mempedulikan apa yang sedang berlaku di negara kita atau di sekeliling mereka. Saya yakin program sebegini mampu menyedarkan belia tentang tanggungjawab mereka terhadap agama, bangsa dan negara.

“Ini juga membantu membentuk mereka menjadi warganegara yang bersemangat waja dan memiliki jati diri yang tinggi serta kalis cabaran masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, Noor Mohamad Shakil berpendapat penyediaan modul latihan dan pembelajaran PLKN 3.0 perlu diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan ia lebih holistik dan memenuhi keperluan dalam mendepani cabaran masa kini.

Menurutnya, selain latihan berkonsepkan ketenteraan, penyediaan modul seperti modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti perlu diberi nafas baharu khususnya dalam aspek menghormati Perlembagaan Persekutuan, isu-isu membabitkan 3R (institusi raja, agama, bangsa) dan pemahaman terhadap kepelbagaian budaya dalam negara.

Pada 9 Okt lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan kerajaan akan meneruskan PLKN 3.0 dengan kaedah latihan berbeza, termasuk memerlukan anak muda menjalani latihan di kem tentera.

Beliau berkata terdapat 13 kem tentera Wataniah yang boleh menampung seramai 20,000 pelatih bagi latihan PLKN selama 45 hari.

Mengenai cadangan penglibatan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai jurulatih dalam PLKN, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia UPM Dr Mohammad Nidzam Abd Kadir berkata ia merupakan usaha yang baik dalam menerapkan nilai-nilai disiplin dalam kalangan pelatih.

“Pemilihan peserta juga tidak sepatutnya dilakukan secara rawak. Perlu ada kriteria tertentu. Kalau pelajar sudah baik akhlaknya wajar dikeluarkan daripada senarai peserta. Pemilihan juga perlu melibatkan pelajar yang mempunyai masalah disiplin di sekolah, sebagai salah satu usaha pembentukan diri pelajar,” katanya.

Mohammad Nidzam berkata tempoh pelaksanaan PLKN selama 45 hari juga dilihat memadai namun kandungan modul dan pelaksanaannya perlu diberi tumpuan dan pengubahsuaian agar latihan yang dijalankan berkualiti.

[caption id="attachment_164350" align="alignnone" width="812"] Foto Arkid Selangorkini[/caption]

Sementara itu, kakitangan swasta Amiry Fahmi Muhammad Adnan, 31, berkata PLKN membantu membentuk sahsiah dan jati diri yang positif dalam kalangan belia, sekali gus dilihat mampu melahirkan generasi muda yang tidak ‘manja’.

“Ia merupakan platform terbaik dalam menerapkan nilai-nilai patriotisme dan perkongsian ilmu-ilmu ‘survival skill’ yang sukar dipelajari pada hari ini. PLKN juga mendidik anak bangsa tentang ilmu dan seni dalam mempertahankan negara.

“Mengambil contoh negara asing seperti Korea Selatan, latihan kenegaraan ini amat dititikberatkan pelaksanaannya. Bahkan, mereka (rakyat Korea Selatan) di sana perlu memperbaharui ilmu dan pas latihan kenegaraan dalam tempoh masa tertentu,” katanya yang menyertai PLKN pada 2010.

Bagi petugas sebuah badan berkanun Aina Natasya Zamri, 29, beliau mencadangkan agar PLKN 3.0 diwajibkan kepada golongan lelaki sahaja bagi mengelakkan berlakunya gejala sosial susulan pergaulan bebas yang mungkin berlaku sepanjang tempoh latihan.

Menurutnya, pengasingan pusat latihan antara pelatih lelaki dan perempuan juga adalah langkah baik yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan bagi mengurangkan risiko gejala sosial, agar latihan kenegaraan itu lebih efisien dan berkualiti.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619