AGENDA

Beregu lelaki negara juarai Terbuka Denmark, raih gelaran jelajah dunia sulung

22 Okt 2023, 3:26 PM
Beregu lelaki negara juarai Terbuka Denmark, raih gelaran jelajah dunia sulung

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya meraih gelaran Jelajah Dunia pertama mereka apabila menjuarai Terbuka Denmark 2023 malam ini di Jyske Bank Arena, Odense.

Juara dunia 2022 yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan itu, ternyata berada dalam kelas tersendiri selepas merakam kemenangan 21-13, 21-17 dalam tempoh 33 minit, ke atas Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia.

Aaron-Wooi Yik mengawal permainan pada set pertama dengan mendahului 11-6 sebelum menoktahkan kemenangan ke atas beregu ke-14 dunia itu dengan kelebihan lapan mata.

Muhammad Shohibul-Bagas cuba memberikan tentangan pada set kedua namun gagal menyaingi beregu Malaysia itu, sebelum Aaron menamatkan permainan dengan pukulan deras untuk meraih mata kemenangan, sekali gus mengesahkan kejuaraan.

Ini merupakan gelaran pertama diraih Aaron-Wooi Yik selepas menempuh enam final Jelajah Dunia termasuk tiga pada musim ini, dengan kali terakhir mereka beraksi di pentas final adalah pada Terbuka China, September lalu.

Aaron-Wooi Yik membawa pulang wang hadiah kemenangan berjumlah AS$62,900 (RM299,875).

Terdahulu, Cheng Qing Chen-Jia Yi Fan dari China muncul juara beregu wanita selepas menewaskan gandingan Jepun Nami Matsumaya-Chiharu Shida 21-16, 21-13 manakala dalam beregu campuran Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China menewaskan rakan senegara Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 16-21, 21-15, 26-24 untuk merangkul gelaran.

Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita, Chen Yu Fei dari China memastikan gelaran miliknya selepas menundukkan Carolina Marin dari Sepanyol 21-14, 21-19.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619