AGENDA

Subsidi bersasar tarik minat rakyat miliki kenderaan elektrik

19 Okt 2023, 5:45 AM
Subsidi bersasar tarik minat rakyat miliki kenderaan elektrik

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Pelaksanan subsidi bersasar dapat menarik minat pemilikan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sektor EV di China berkembang pesat apabila pengguna terpaksa membayar kos sebenar untuk bahan api jika terus menggunakan kenderaan bukan mesra alam, katanya.

“Dalam subsidi bersasar, perkara besar adalah berkaitan petrol. Bila ada subsidi bersasar berdasarkan pendapatan isi rumah, pengguna terpaksa membayar kos sebenar (untuk bahan api) dan kemungkinan ramai antara mereka akan beralih kepada EV.

“Ia juga akan menjadi satu faktor penting negara-negara lain seperti China dapat berkembang dengan sangat cepat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini

Nik Nazmi menjawab soalan tambahan Wong Chen (PKR-Subang) Wong yang ingin tahu sama ada kerajaan terbuka meningkatkan sasaran jumlah kenderaan EV berbanding 1.5 juta unit menjelang 2040 dan memperkenalkan insentif seperti diguna pakai oleh China.

Beliau bersetuju dengan saranan Wong bahawa wujud keperluan mengkaji semula sasaran yang ditetapkan supaya lebih agresif bagi memastikan negara mencapai matlamat yang lebih bermakna.

“Banyak perkara berubah, mungkin kita perlu satu sasaran lebih tinggi,” katanya.

Menurut Wong, sebanyak 23 juta kenderaan aktif di dalam negara dan sasaran 1.5 juta EV hanyalah tujuh peratus daripada jumlah itu.

Justeru, beliau ingin tahu adakah kerajaan akan melihat keperluan untuk perlu meningkatkan sasaran kenderaan EV menjelang 2040 kepada 20 peratus ataupun 30 peratus.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619