AGENDA

MyAirline beri keutamaan pulang semula wang pelanggan, bayar gaji pekerja

16 Okt 2023, 12:37 PM
MyAirline beri keutamaan pulang semula wang pelanggan, bayar gaji pekerja

SUBANG JAYA, 16 OKT: Susulan tindakan menggantung operasi Khamis lepas, MYAirline Sdn Bhd kini akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan dua isu penting, iaitu memulangkan wang pelanggan yang telah membuat pembayaran bagi tempahan tiket dan membayar gaji pekerja - semuanya diselesaikan dalam tahun ini.

Pengarah dan Eksekutif Interim MYairline Datuk Sri Azharuddin A Rahman berkata kedua-dua isu itu akan menjadi agenda pertama untuk diselesaikan oleh syarikat penerbangan itu sebaik sahaja ia memperoleh pembiayaan daripada pelabur.

"Sehingga hari ini, kami telah memproses 18,000 e-mel yang meminta bayaran dipulangkan. Kami menggalakkan pelanggan yang terjejas menghantar e-mel kepada kami untuk mempercepatkan proses bayaran balik. Secara keseluruhan, terdapat 125,000 pelanggan yang terjejas, dengan nilai keseluruhan RM22 juta," katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai status semasa Myairline di ibu pejabatnya hari ini.

Beliau turut menegaskan kebajikan pekerja tetap menjadi keutamaan syarikat.

"Sebaik sahaja pembiayaan diperoleh, kami akan mengutamakan pembayaran statutori dan gaji pekerja. Adalah penting ditekankan bahawa semua pekerja terlibat masih kekal di bawah penggajian MYAirline, tiada sesiapa yang diberi cuti tanpa gaji atau ditamatkan perkhidmatan sehingga kini. Kami telah bertemu dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memaklumkan perkembangan terkini berhubung perkara ini," katanya.

Mengenai pelabur berpotensi, Azharuddin berkata MYAirline sedang giat meneroka perkongsian strategik dan telah menerima beberapa cadangan.

"Semua cadangan ini sedang dinilai dengan terperinci dan usaha wajar. Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa perbincangan dengan pemberi pajak sedang berjalan untuk mengekalkan pesawat kami," katanya.

Beliau seterusnya menggalakkan semua penumpang yang terjejas menghubungi customercare@myairline.my dan talian hotline di 03-8966 2522 yang beroperasi dari 7 pagi hingga 6 petang setiap hari, bagi memudahkan proses pembayaran balik dan memberikan bantuan yang diperlukan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619