AGENDA

Serangan Israel, keluarga staf kedutaan Malaysia di Lubnan diarah pulang

16 Okt 2023, 2:29 AM
Serangan Israel, keluarga staf kedutaan Malaysia di Lubnan diarah pulang

PUTRAJAYA, 16 OKT: Kerajaan memutuskan agar anggota keluarga kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, Lubnan kembali ke Malaysia sehingga keadaan keselamatan membenarkan, berikutan kawasan selatan negara itu turut diserang Israel.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata keputusan itu adalah langkah proaktif kerajaan bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia menjadi keutamaan negara.

“Bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia akan terus beroperasi seperti biasa,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin.

Wisma Putra turut menyarankan agar warga Malaysia disaran menangguhkan perjalanan yang tidak penting (non-essential travel) ke Lubnan.

Kerajaan juga mengarahkan pihak kedutaan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau keadaan rakyat Malaysia di negara itu, termasuk pasukan pengaman Angkatan Tentera Malaysia - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ATM-PBB) iaitu MALBATT yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

“Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah berhubung rapat dengan 12 warga Malaysia serta keluarga yang kini bermastautin di Lubnan,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular dan mempunyai pertanyaaan boleh berhubung dengan pihak kedutaan di talian +961 (1)1970207 (pejabat) atau +961-71380063 (bimbit) atau email mwbeirut@kln.gov.my.

Menurut laporan media, kawasan selatan Lubnan turut menjadi sasaran bedilan roket Israel susulan konflik dengan Palestin sejak 7 Oktober lepas.

Pada Jumaat, wartawan Reuters Issam Abdullah terkorban dalam serangan Israel ketika sedang bertugas berhampiran sempadan Lubnan-Israel.

Serangan itu turut mencederakan enam yang lain termasuk wartawan AFP dan Al Jazeera.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619