AGENDA

Tambah aset, jaga kebajikan anggota, veteran fokus Mindef dalam Belanjawan 2024

14 Okt 2023, 10:00 AM
Tambah aset, jaga kebajikan anggota, veteran fokus Mindef dalam Belanjawan 2024

MELAKA, 14 OKT: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memberi fokus pada penambahan aset baharu termasuk bagi mengawal sempadan negara dan kebajikan anggota serta veteran tentera menerusi peruntukan RM19.7 bilion yang diterima kementerian itu dalam Belanjawan 2024.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata antara aset baharu yang bakal diterima Mindef ialah tiga Littoral Mission Ship (LMS) dengan tumpuan penempatan aset berkenaan termasuk di Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) di Bintulu, Sarawak.

Beliau berkata pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan yang berhampiran dengan Sabah dan Sarawak juga memerlukan pembangunan sempadan yang ketat dan lebih efektif termasuk penambahan lebih banyak pos kawalan.

"Tahun ini ada empat pos kawalan akan dibangunkan manakala tujuh lagi (pos kawalan) akan dibangunkan di Sabah dan Sarawak tahun depan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Pendanaan Politik anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Transparency-International Malaysia (TI-M).

Mengulas lanjut, Adly berkata langkah berkenaan secara tidak langsung membantu negara memperkukuhkan kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak, sekali gus meningkatkan keselamatan di perairan Laut China Selatan yang kaya dengan sumber perikanan bagi nelayan tempatan selain aktiviti cari gali minyak.

Sementara itu, katanya antara aspek kebajikan anggota tentera yang menjadi keutamaan ialah pembinaan lebih banyak Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) selain menambah baik bantuan dan pemberian kepada veteran tentera termasuk tidak berpencen.

"Tahun depan kira-kira RM400 juta akan diperuntukan bagi pembinaan RKMAT berbanding RM200 juta tahun ini dan RM100 juta tahun lalu," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan agensi tunggal sempadan negara atau Single Border Agency (SBA) yang diumumkan Anwar dalam Belanjawan 2024 semalam, Adly berkata Mindef akan mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Dalam Negeri bagi membincangkan inisiatif berkenaan dalam masa terdekat.

Beliau berkata perbincangan berkenaan termasuk penyelarasan pelbagai aspek melibatkan tugas, peranan dan skop kerja bagi agensi penguat kuasa di bawah kedua-dua kementerian itu.

Semalam Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2024 memaklumkan sejumlah RM19.7 bilion diperuntukkan kepada Mindef dalam usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara, meningkat berbanding RM2 bilion pada belanjawan lepas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619