AGENDA

Pengecualian duti hiburan galak sektor pelancongan, bantu artis jana pendapatan

14 Okt 2023, 5:03 AM
Pengecualian duti hiburan galak sektor pelancongan, bantu artis jana pendapatan

SHAH ALAM, 14 OKT: Pengecualian penuh duti hiburan bagi persembahan pentas artis tempatan di Wilayah Persekutuan mampu membantu golongan berkenaan menjana pendapatan lebih tinggi.

Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya berkata pelaksanaan itu akan mengurangkan kos penganjuran acara sekali gus membolehkan artis mendapat bayaran lebih tinggi.

Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet berkata inisiatif yang turut mengurangkan 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas artis antarabangsa bakal menggalakkan sektor pelancongan negara.

“Pelaksanaan di ibu kota. Jika artis luar membuat persembahan dan peminat datang, ia membantu ekonomi serta pelancongan setempat.

“Peminat ada duduk di hotel, berjalan-jalan dan membeli-belah barangan lain. Jadi langkah ini bukan hanya membantu golongan artis tetapi jadi pemangkin ekonomi negara,” katanya kepada Selangorkini.

Bekas penyanyi rap arus perdana itu turut menyokong penuh sekiranya negeri lain melaksana dasar yang diperkenalkan Kerajaan Selangor pada 2021 susulan penularan Covid-19.

“Jika negeri lain mengambil langkah ini, industri seni kreatif akan lebih berkembang. Golongan seni teruja untuk adakan konsert di seluruh pelusuk negara,” katanya.

Ketika membentang Belanjawan 2024 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan kadar duti hiburan Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu.

Langkah itu susulan tindakan Kerajaan Selangor mengurangkan kadar duti daripada 25 peratus kepada lima peratus ke atas setiap bayaran masuk ke taman tema selama lima tahun berkuat kuasa 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026.

Sepanjang tahun lalu juga, Kerajaan Negeri turut memberikan pengecualian duti hiburan selama setahun untuk bayaran masuk pertunjukan pentas (bertiket) bagi artis tempatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619