AGENDA

Naik taraf LRT3 berita baik buat pengguna pengangkutan awam - Prasarana

14 Okt 2023, 1:42 AM
Naik taraf LRT3 berita baik buat pengguna pengangkutan awam - Prasarana

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Pengembalian semula lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang sebelum ini dibatalkan cadangan pembinaannya, dijangka mampu menambah baik kesalinghubungan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan memaklumkan peruntukan RM4.7 bilion untuk menaik taraf projek LRT3 (LRT Laluan Shah Alam) dan sistem sokongan, merupakan berita baik buat pengguna pengangkutan awam khususnya bagi mereka yang berada di koridor barat Lembah Klang meliputi kawasan dari Johan Setia, di Klang, Selangor ke Bandar Utama, Petaling Jaya.

“Ia bakal memberi manfaat kepada dua juta pengguna di sepanjang koridor berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan bersetuju meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Menurut Prasarana peruntukan itu juga merangkumi perolehan tiga set tren tambahan, penambahbaikan sistem sokongan dan perluasan depoh sedia ada di Johan Setia.

Dalam pada itu, perolehan 150 unit bas elektrik dan pembinaan tiga depoh bas oleh Prasarana dengan kos RM600 juta bagi menyediakan kemudahan batuan pertama dan terakhir untuk projek LRT3 adalah langkah menyokong pelepasan karbon sifar bersih.

Sementara itu, Prasarana juga menyambut baik penerusan inisiatif pas bulanan My50 bagi pengguna pengangkutan awam yang bakal memberikan manfaat kepada hampir 180,000 pengguna.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619