AGENDA

TikTok mesti segera pertingkat pematuhan operasi terhadap undang-undang

12 Okt 2023, 6:19 AM
TikTok mesti segera pertingkat pematuhan operasi terhadap undang-undang

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Pematuhan operasi TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan dan mesti diperbetul segera, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Katanya beliau menegaskan perkara itu pada pertemuan dengan pengurusan tertinggi TikTok diketuai oleh Naib Presiden Global TikTok Helena Lersch, semalam.

Fahmi berkata selain perlu beroperasi mengikut garis panduan dan undang-undang Malaysia, TikTok juga mesti lebih proaktif mengekang penularan berita palsu dan bahan berbaur fitnah yang disebarkan di platform itu, termasuk penularan yang bersifat Coordinated Inauthentic Behaviour (CIB).

"Pihak TikTok mengakui terdapat kelemahan dalam respons mereka berikutan ketiadaan wakil di Malaysia pada ketika ini," katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Fahmi berkata pertemuan itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit susulan peningkatan penyebaran berita palsu di platform media sosial tersebut serta operasi TikTok Shop di Malaysia.

Pada masa sama, Fahmi berkata TikTok juga diingatkan supaya mencari solusi kepada isu pembelian iklan dan sebaran kandungan di platform terbabit.

Katanya kerajaan tegas dalam hal itu berikutan ada aduan daripada gedung perniagaan, orang awam dan agensi media yang sangat terkesan oleh iklan yang ditempah terus dengan platform media sosial berkenaan.

"TikTok telah memberi jaminan akan meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia. Sehubungan itu, mereka memberi komitmen untuk mengadakan pertemuan lanjut pada kadar segera bagi menyelesaikan isu-isu ini," katanya.

Pada Sabtu lepas, Fahmi dilaporkan berkata kementeriannya akan memanggil pengendali aplikasi TikTok bagi memberi penjelasan berhubung beberapa isu berkaitan iklan dan kandungan di platform terbabit.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619