AGENDA

15 lelaki masing-masing didenda RM10,000 terlibat penipuan pelaburan tak wujud

11 Okt 2023, 8:38 AM
15 lelaki masing-masing didenda RM10,000 terlibat penipuan pelaburan tak wujud

BENTONG, 11 OKT: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM10,000 tiap seorang ke atas 15 lelaki selepas mereka mengaku terlibat dalam penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari Singapura.

Majistret Nadhratun Naiem Zainan turut memerintahkan kesemua tertuduh berusia 17 hingga 31 tahun itu dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Genting Highlands di sini antara 12 tengah hari hingga 6.30 petang 5 Oktober lalu mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, perkara itu terbongkar selepas premis yang dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan tersebut diserbu anggota dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.

Sindiket itu dipercayai mencari mangsa secara rawak di aplikasi mencari jodoh 'Coffee Meets Bagel Dating' dan selepas berkenalan, mereka menawarkan pautan ke pelaburan tidak wujud yang diuruskan sindiket lain.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 19 komputer riba dan 69 telefon pintar dipercayai digunakan untuk melakukan kesalahan tersebut.

Peguam Lau Yih Yun dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang mewakili kesemua tertuduh, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling ringan atas alasan mereka menanggung keluarga.

"Semua tertuduh difahamkan bekerja sebagai khidmat pelanggan dengan pendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 seorang," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid pula memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain menjadi iktibar kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan serupa.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619