BERITA UTAMA

MBSA perluas kutipan bahan kitar semula ke kawasan perumahan bertanah

6 Okt 2023, 12:30 AM
MBSA perluas kutipan bahan kitar semula ke kawasan perumahan bertanah

SHAH ALAM, 6 OKT: Kutipan bahan kitar semula di Shah Alam diperluas ke kawasan perumahan bertanah dengan pelaksanaan secara berfasa.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman berkata penduduk di kawasan perumahan atas tanah boleh menggunakan aplikasi '3R Family' menerusi telefon pintar.

Menurutnya, aplikasi itu bertindak sebagai platform menyampaikan maklumat terkini seperti lokasi dan waktu kutipan barangan kitar semula di Shah Alam.

"Aktiviti kutipan pintu ke pintu di kawasan kediaman atas tanah ini memasuki fasa keempat membabitkan 60,000 kediaman.

"Antara kawasan terlibat dengan kutipan bahan kitar semula ini adalah Seksyen U8, Seksyen U16, Seksyen U13, Seksyen U10, Seksyen 31-35. Kita akan meneruskan ke kawasan lain secara berfasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBSA bersama Nestle Malaysia dan KPT Recycles Sdn Bhd di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, di sini semalam.

Hadir menyempurnakan majlis EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim.

Ir Cheremi berkata bagi perumahan kos rendah bertingkat pula MBSA bersama Nestle Malaysia dan KPT Recycles Sdn Bhd menyediakan tong kutipan ‘Re-Rosta’ iaitu inovasi kutipan sampah kering.

Beliau menjelaskan, penyediaan tong itu bertujuan memudahkan penduduk perumahan bertingkat melaksanakan amalan pengasingan barangan tanpa perlu ke pusat kitar semula.

"Selain itu, kita turut menganjurkan program ‘First Mile Recycle’ iaitu inovasi kutipan sampah kering di kawasan kampung tradisional dalam kawasan pentadbiran MBSA.

"Program ini berjaya meningkatkan kesedaran aktiviti kitar semula dalam kalangan penduduk di kawasan kampung tradisional bagi melaksanakan konsep 3R (kurangkan, guna semula, kitar semula)," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619