AGENDA

Perhilitan siasat punca Orang Asli maut dipercayai dibaham harimau

5 Okt 2023, 11:43 AM
Perhilitan siasat punca Orang Asli maut dipercayai dibaham harimau

GUA MUSANG, 5 OKT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bersama pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan melakukan siasatan di lokasi kejadian bagi menentukan punca kematian seorang lelaki Orang Asli akibat diserang hidupan liar dipercayai harimau belang di Pos Pasik di sini semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata pasukan SAR yang terdiri daripada polis, Perhilitan, bomba dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah diberikan taklimat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sebelum mula bergerak ke lokasi kejadian pada 9 pagi tadi.

"Jarak antara bandar Gua Musang ke Pos Pasik adalah sejauh 85 kilometer dan pasukan mereka terpaksa mengambil masa hingga empat jam untuk tiba ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata laluan untuk ke Pos Pasik hanya dapat diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan ladang.

Beliau berkata berdasarkan rekod aduan konflik hidupan liar Pejabat Perhilitan daerah Gua Musang, aduan awam yang diterima daripada penduduk Pos Pasik sebelum ini hanya melibatkan gangguan gajah liar.

"Perhilitan telah membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) mudah alih di sekeliling Sekolah Kebangsaan Pos Pasik pada 2017 dan masih dalam keadaan berfungsi serta diselenggara oleh kontraktor yang dilantik oleh jabatan," katanya.

Semalam, seorang lelaki Orang Asli berusia 25 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kaki kirinya hilang disyaki dibaham harimau selain kesan cakaran haiwan itu pada kepala dan badannya, di kawasan hutan Pos Pasik.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619