AGENDA

Sindiket palsukan dokumen untuk pinjaman bank tumpas, 10 ditahan

4 Okt 2023, 9:44 AM
Sindiket palsukan dokumen untuk pinjaman bank tumpas, 10 ditahan

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Polis menahan empat lelaki dan enam wanita yang disyaki menganggotai satu sindiket pemalsuan dokumen permohonan pinjaman bank, dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Gombak, Setapak di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 21 hingga 36 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilancarkan hasil kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menawarkan perkhidmatan mereka melalui laman sosial kepada individu yang ingin mendapatkan pinjaman wang daripada bank tempatan dengan memalsukan dokumen untuk dikemukakan kepada pihak bank.

“Polis merampas tiga set komputer, 77 kad ATM pelbagai bank, 10 unit telefon bimbit dan 43 cop getah atas nama pelbagai syarikat dalam serbuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dirampas adalah beberapa pukal dokumen bank, dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dokumen Credit Tip Off Service (CTOS) dan beberapa penyata gaji atas nama pelanggan yang disyaki digunakan dalam menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen.

Ashari berkata sindiket ini dipercayai aktif sejak empat tahun lepas di sekitar ibu negara, dan semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619