AGENDA

Negeri pantau situasi jerebu, tindakan tutup sekolah jika bacaan IPU lebih 200

3 Okt 2023, 8:18 AM
Negeri pantau situasi jerebu, tindakan tutup sekolah jika bacaan IPU lebih 200

SHAH ALAM, 3 OKT: Kerajaan Negeri memantau rapat situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan sejak kebelakangan ini.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata tindakan lanjut akan diambil termasuk menutup sekolah jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

“Berdasarkan semakan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), sekiranya IPU lebih 200 ia dalam keadaan berbahaya dan jika benar-benar berlaku, kita akan ambil tindakan lanjut.

“Aktiviti persekolahan memang perlu dihentikan dan kita akan pastikan semua sekolah terlibat menerima makluman ini. Bagaimanapun, setakat ini (IPU) tidak melebihi paras itu,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau menambah pemantauan juga akan dilakukan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan tiada aktiviti pembakaran berskala besar dilakukan terutama di kawasan hutan.

“Jika sesiapa nampak ada pembakaran terbuka terutama di kawasan hutan diminta supaya lapor kepada JAS dan tindakan penangkapan akan dibuat terhadap pelaku,” katanya.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Mei lalu, pihak berkuasa cuaca dan iklim memberi amaran berlakunya jerebu lebih serius di rantau selatan Asean antara Jun dan Oktober tahun ini.

Setakat 12 tengah hari, tiga kawasan di Selangor merekodkan bacaan IPU tidak sihat, berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (Apims).

Petaling Jaya mencatatkan bacaan IPU 119, Shah Alam (116) dan Banting (114).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619