AGENDA

Lelaki cedera kereta dipandu bertembung BMW lawan arus

2 Okt 2023, 3:15 PM
Lelaki cedera kereta dipandu bertembung BMW lawan arus

GEORGE TOWN, 2 OKT: Seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian perut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta jenis BMW yang dipandu seorang wanita tempatan secara melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong, berkata kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala ke pusat bandar.

"Lelaki warga tempatan yang memandu kereta jenis Perodua Bezza dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Taman Kristal, Mount Erskine, di sini telah bertembung dengan sebuah kereta jenis BMW berwarna putih yang dipandu oleh seorang wanita dalam keadaan melawan arus.

"Akibat daripada perlanggaran tersebut, lelaki itu mengalami kecederaan pada bahagian perut dan masih menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Pulau Pinang," katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemandu kereta BMW masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang akibat kecederaan di bahagian dada.

Soffian, berkata, setakat ini, pihaknya masih belum merekodkan keterangan daripada kedua-dua pemandu itu kerana mereka masih belum dapat diambil ekoran masih menerima rawatan lanjut di hospital.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut, Insp Mohd Azli Khairil Mat Lazin di talian 019-5946806 bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata pihak polis menasihati orang awam khususnya pengguna jalan raya agar sentiasa peka terhadap arahan lalu lintas bagi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan yang tidak diingini dari berlaku.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video sebuah kereta jenis BMW berwarna putih memandu secara melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari arah pusat bandar menghala ke Jambatan Pulau Pinang hingga telah menyebabkan perlanggaran dengan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619