AGENDA

Banjir: Jumlah mangsa di Kedah meningkat 1,813 orang, Perlis 48 orang

28 Sep 2023, 1:42 PM
Banjir: Jumlah mangsa di Kedah meningkat 1,813 orang, Perlis 48 orang

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 1,813 orang daripada 530 keluarga malam ini, berbanding 1,220 orang daripada 372 keluarga pagi tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mereka daripada daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Baling, dan ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata di Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena, masing-masing terdapat tiga PPS yang dibuka, manakala di Baling, empat PPS.

“PPS di Kubang Pasu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, SK Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu, manakala PPS di Kota Setar pula (SK Taman Aman, SMK Kepala Batas dan SK Seri Gunung);

“Selain itu, PPS di Pokok Sena pula di SK Bukit Hijau, Maahad Tarbiyah Derang dan SK Permatang Limau, manakala PPS di Baling melibatkan SK Iboi dan SMK Jerai, SK Kampung Keda dan Surau Annur,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu di Perlis, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 48 orang berbanding 42 orang pagi tadi dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangasaan Kubang Gajah, Arau.

Pengarah APM Perlis Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata tambahan enam orang itu melibatkan sebuah keluarga dari Kampung Alor Ara.

"Sehingga kini terdapat seramai 48 orang mangsa daripada 17 buah keluarga yang terdiri daripada 31 orang dewasa, 15 kanak-kanak dan dua orang bayi di PPS ini.

“Jika malam ini tidak hujan dan air pasang malam tidak memberi kesan kepada paras air..insya-Allah mangsa mungkin akan dibenarkan pulang esok," katanya ketika dihubungi Bernama.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619