AGENDA

Banjir di Perlis pulih, jumlah mangsa di Kedah meningkat

27 Sep 2023, 1:53 PM
Banjir di Perlis pulih, jumlah mangsa di Kedah meningkat

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Banjir di Perlis telah pulih sepenuhnya, namun jumlah mangsa banjir di Kedah mencatatkan peningkatan setakat 8 malam ini.

Di PERLIS, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Arau yang menempatkan lima mangsa daripada dua keluarga ditutup 2.45 petang tadi dan kesemua mangsa telah dibenarkan pulang.

PPS Dewan SK Arau yang dibuka sejak petang semalam menempatkan mangsa dari Kampung Titi Besi dan Kampung Kebun.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 701 orang daripada 201 keluarga setakat malam ini berbanding 268 mangsa daripada 81 keluarga pagi tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana APM Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena itu ditempatkan di tujuh PPS.

“Tujuh PPS itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang di Changlun, SK Malau, Dewan PPK Lubuk Batu, SK Taman Aman, SK Bukit Hijau dan Maahad Tarbiyah Derang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri akan memberikan bantuan berupa pek makanan kepada mangsa banjir yang akan diagihkan selepas mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Exco petang tadi.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619