AGENDA

Seorang maut, van bawa pelancong Singapura jatuh cerun di Balik Pulau

24 Sep 2023, 11:45 PM
Seorang maut, van bawa pelancong Singapura jatuh cerun di Balik Pulau

BALIK PULAU, 24 SEPT: Seorang wanita warga Singapura maut manakala 10 lagi cedera dalam insiden van pelancong terbabas sebelum terjatuh ke cerun berkedalaman lebih enam meter di Bukit Genting di sini malam ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau N. Prenavaran berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 8.20 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Sejurus tiba, didapati tempat kejadian merupakan kawasan berbukit dan jentera bomba tidak dapat masuk... anggota bomba terpaksa mendaki bukit selama 15 minit dengan membawa usungan dan peralatan kecemasan.

"Didapati seorang wanita telah meninggal dunia, tujuh lagi masih tersepit dalam kenderaan manakala tiga telah dinaikkan ke tempat selamat dengan bantuan orang awam," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memotong papan pemuka dan stereng van itu untuk menyelamat wanita yang tersepit di sebelah tempat pemandu.

"Operasi selesai pada kira-kira 10.45 malam selepas mangsa terakhir dikeluarkan dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden Kamarul Rizal Jenal pula berkata terdapat 11 mangsa iaitu lapan wanita dan tiga lelaki dengan 10 daripada mereka adalah pelancong warga Singapura manakala pemandu van ialah lelaki tempatan.

Beliau berkata identiti mangsa masih belum dikenal pasti namun mereka dipercayai terdiri darupada sekumpulan warga emas yang sedang bercuti di Pulau Pinang.

“Seorang wanita warga Singapura ditemukan mati di tempat kejadian manakala 10 mangsa lagi yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan Hospital Balik Pulau untuk menerima rawatan,” katanya.

Kamarul Rizal juga berkata punca insiden itu masih dalam siasatan dan proses bedah siasat mangsa yang terkorban akan dilakukan esok.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619