AGENDA

Kegiatan suami isteri palsu dokumen di sebalik madrasah dibongkar

22 Sep 2023, 10:00 AM
Kegiatan suami isteri palsu dokumen di sebalik madrasah dibongkar

KANGAR, 22 SEPT: Perbuatan suami isteri etnik Rohingya yang menjalankan kegiatan memalsukan dokumen untuk pelarian dengan berselindung di sebalik operasi madrasah mengajar al-Quran, terbongkar selepas Jabatan Imigresen menjalankan serbuan di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat semalam.

Pengarah Imigresen Perlis Khairul Amin Talib berkata dalam Op Serkap jam 10 pagi itu, penguat kuasa jabatan itu menahan pasangan berkenaan berumur 24 dan 30 tahun yang turut menjadi guru al-Quran di madrasah terbabit selain jurunikah bagi pasangan etnik Rohingya.

"Daripada tujuh rumah yang diperiksa, sebuah rumah yang disewa oleh komuniti Rohingya sebagai madrasah untuk mengajar mengaji kanak-kanak etnik Rohingya didapati dijadikan pusat operasi kegiatan pemalsuan Surat Dalam Proses Pertimbangan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR)," katanya di sini hari ini.

Hasil operasi itu, 200 keping Surat Dalam Proses Pertimbangan UNHCR dan 100 keping surat nikah yang dipercayai palsu dalam bentuk digital berjaya dirampas selain dua komputer, dua telefon bimbit, satu pemancu kilat USB, dua unit kad memori (kad SD) dan dua set kad perniagaan.

Khairul Amin berkata turut dirampas ialah dua buku rekod bayaran proses serta wang tunai RM5,300 yang ditemukan disorok di bawah tilam suspek.

“Siasatan awal mendapati suspek mendapatkan pelanggan menerusi platform media sosial dan menghantar dokumen palsu itu dalam bentuk digital dengan mengenakan bayaran RM50. Pelanggan perlu mencetak sendiri dokumen itu,” katanya.

Khairul Amin berkata suspek utama disiasat mengikut Seksyen 56(1A) (b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), manakala isterinya ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula semalam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619