AGENDA

Polis kesan tiga lagi individu terlibat himpunan tanpa permit di KL

20 Sep 2023, 2:57 AM
Polis kesan tiga lagi individu terlibat himpunan tanpa permit di KL

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Polis sedang mengesan tiga lagi individu bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan tanpa permit di ibu kota pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata polis sehingga kini masih gagal menghubungi ketiga-tiga individu berkenaan untuk tampil memberi keterangan.

Katanya setakat ini, seramai 16 daripada 28 individu yang dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan itu telah dirakam keterangan manakala selebihnya, tidak termasuk tiga individu yang masih dikesan itu, akan dirakam keterangan dalam masa terdekat.

"Bagi tiga individu yang masih gagal dikesan ini pihak polis akan keluarkan nama mereka dalam masa terdekat jika mereka masih lagi belum tampil untuk membantu siasatan dan kami yakin kertas siasatan akan dapat dilengkapkan pada minggu ini juga," katanya.

Allaudeen berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan agensi itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada Sabtu lepas, perhimpunan yang disertai kira-kira 800 peserta anjuran Pemuda Perikatan Nasional itu disahkan tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Sementara itu, Allaudeen dalam ucapannya pada perhimpunan itu berkata indeks jenayah bagi lapan bulan pertama tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 10.3 peratus atau 344 kes berbanding tahun lepas sebanyak 3,349 kes.

Beliau berkata jenayah kekerasan turut mencatatkan penurunan sebanyak 115 kes berbanding 738 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Daripada Januari hingga 31 Ogos (tahun) ini, polis telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM53.3 juta dan menahan seramai 9,765 individu atas pelbagai kesalahan dadah serta jenayah," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619