AGENDA

Elavarasan lepas jawatan skuad B-23, kembali bantu Pan Gon

18 Sep 2023, 6:24 AM
Elavarasan lepas jawatan skuad B-23, kembali bantu Pan Gon

SHAH ALAM, 18 SEPT: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) E Elavarasan melepaskan jawatannya bagi menumpukan semula tugas sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan perkara itu diputuskan dalam pertemuan Elavarasan bersama Presiden Datuk Hamidin Mohd Amin bagi membincangkan hala tuju pasukan B-23.

"Hamidin dan Elavarasan mencapai kata sepakat agar beliau kembali fokus kepada tanggungjawab sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Kim Pan Gon dalam skuad senior

"Ia sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan," kata Setiausaha Agungnya Datuk Noor Azman Rahman dalam kenyataan hari ini.

FAM turut berterima kasih atas sumbangan Elavarasan berikutan kejayaannya membawa pasukan layak ke Piala Asia B-23 2024, biarpun tewas 1-0 kepada Thailand dalam aksi terakhir pada 12 September.

Dalam pada itu, beliau berkata ketua jurulatih baharu bagi menghadapi Piala Asia tahun depan akan diumum kemudian selepas perbincangan bersama pihak berkaitan.

Elavarasan mula mengemudi pasukan B-23 menggantikan Brad Maloney pada 1 September tahun lalu dan pada masa sama masih membantu Pan Gon dalam skuad senior negara.

Sepanjang tempoh itu, skuad Harimau Malaya B-23 berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura, layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 dan mara ke Piala Asia B-23 2024.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619