AGENDA

Terengganu FC bawa bekalan dua gol ke Selangor

17 Sep 2023, 1:18 AM
Terengganu FC bawa bekalan dua gol ke Selangor

KUALA NERUS, 16 SEPT: Terengganu FC memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila menewaskan Selangor FC 2-0 pada perlawanan suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.

Pasukan tuan rumah bermula garang apabila melakukan serangan seawal minit ketiga, namun Ivan Mamut gagal memanfaatkan peluang terhidang ketika hanya berdepan penjaga gol pelawat, Samuel Somerville dan beliau terlepas lagi peluang untuk menjaringkan gol pendahuluan pada minit kelima dan ke-24 sekali gus mengecewakan lebih 13,000 penyokong tuan rumah.

Peluang terbaik skuad The Red Giants hadir pada minit ke-39 menerusi percubaan bola leret Richmond Boakye yang gagal ditangkap kemas Suhaimi Husin dan hampir disambar Faisal Halim, tetapi bola yang muntah itu berjaya dikeluarkan pemain pertahanan tuan rumah.

Bagaimanapun kesilapan pemain pertahanan Selangor FC, Quentin Cheng menjatuhkan Nurillo Tukhtasinov membawa padah apabila pengadil, Fitri Maskon menghadiahkan sepakan penalti kepada TFC yang berjaya disempurnakan Mamut pada masa tambahan babak pertama untuk meletakkan TFC di depan.

Bersambung ke babak kedua, kedua-dua pasukan seakan hilang rentak permainan namun Selangor FC nyaris mengikat kedudukan selepas sepakan Ayron Del Valle pada minit ke-82 menggegar palang.

Pada masa tambahan pemain gantian, Muhamad Syahmi Zamri berjaya menambah jaringan untuk TFC selepas menanduk bola hasil hantaran Nik Shariff Haseefy Mohd Lazim pada masa kecederaan untuk kemenangan 2-0.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619