AGENDA

Sindiket seludup rokok, minuman keras lebih RM36 juta tumpas

15 Sep 2023, 2:41 PM
Sindiket seludup rokok, minuman keras lebih RM36 juta tumpas

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam berjumlah lebih RM36 juta menerusi tiga serbuan di Kajang, 7 Sept lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Hazani Ghazali berkata risikan oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar, Perisikan Siasatan Khas bersama Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Cheras itu turut membongkar dua makmal haram memproses arak tiruan.

Beliau berkata hasil serbuan itu, polis menahan 10 lelaki terdiri daripada lima rakyat tempatan dan lima warga asing, selain merampas 73,800 karton rokok pelbagai jenis dan 24,573 kotak minuman keras tidak bercukai kastam bernilai lebih RM36 juta termasuk nilai cukai.

"Selain itu, turut dirampas peralatan dan mesin memproses minuman keras serta tiga kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM395,575 manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM36,478,585.

“Kesemua suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga semalam, PDRM menahan 3,764 individu serta merampas pelbagai barangan seperti ubat palsu, barang tidak bercukai kastam, haiwan dan hidupan liar bernilai lebih RM726 juta.

Katanya kejayaan itu diraih PDRM menerusi tiga operasi iaitu Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah.

"PDRM sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam serta penyelewangan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi.

"Operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain akan diteruskan dan kerjasama orang ramai dalam penyaluran maklumat kepada polis juga amat digalakkan untuk membanteras sepenuhnya kegiatan jenayah ini," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619