AGENDA

Malaysia tekad banteras Islamofobia, edar al-Quran ke seluruh dunia

15 Sep 2023, 7:28 AM
Malaysia tekad banteras Islamofobia, edar al-Quran ke seluruh dunia

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha membanteras Islamofobia, kejahilan dan kebencian terhadap Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perbuatan membakar al-Quran yang berlaku akibat kejahilan, sombong dan pemikiran neokolonial, perlu dibanteras menerusi ilmu dan pemahaman.

“Bagi orang Islam sudah tentu melalui al-Quran,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Kompleks Nasyrul Quran di sini hari ini.

Anwar berkata al-Quran dan terjemahannya yang dihasilkan oleh Yayasan Restu, telah dicetak, diterjemahkan dan diedarkan ke seluruh dunia, khususnya di negara-negara Barat.

“..supaya mereka (orang Barat) berpeluang membaca, memahami untuk menghayati, seperti yang kita lakukan dalam menghormati agama lain di negara ini.

“Saya berharap melalui usaha ini, kita dapat mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan lebih memahami serta menghormati kemanusiaan,” katanya.

Pada 27 Januari, Anwar mengumumkan Malaysia akan mencetak sebanyak sejuta naskah al-Quran sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden.

Sementara itu, Anwar berkata penerbitan, percetakan al-Quran dan terjemahan yang dilakukan ketika ini memberi mesej bermakna mengenai keupayaan memaknai kitab suci itu supaya diberi petunjuk.

Beliau turut menekankan bahawa gagasan Madani diperkenalkannya juga adalah elemen penting dalam penghayatan Islam di negara ini

“Ini saya cuba ungkap dalam Madani , walaupun ia rangkul soal negara, tata kelola, kemampanan ekonomi termasuk ihsan dan amanah tetapi soal nilai akhlak jadi teras tertentu untuk agama khususnya al-Quran,” katanya.

Madani itu diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Hari ini, beliau melancarkan tiga kontena al-Quran yang akan membekalkan 30,000 naskhah al-Quran dan terjemahan Bahasa Inggeris, diiringi dengan terjemahan Bahasa Cina ke tiga negara iaitu Australia, Kanada dan United Kingdom.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619