AGENDA

Jangan keluar fatwa sendiri dahului pihak berkuasa

15 Sep 2023, 7:18 AM
Jangan keluar fatwa sendiri dahului pihak berkuasa

SHAH ALAM, 15 SEPT: Khutbah Jumaat mengingatkan umat Islam supaya tidak mengeluarkan kenyataan atau 'fatwa' sendiri secara terburu-buru, dengan mendahului pihak berkuasa.

Menurut teks khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), keadaan lebih parah jika pandangan itu mempunyai kepentingan peribadi atau memberi kelebihan kepada kumpulan tertentu.

Seperti di Selangor, fatwa yang dikeluarkan perlu mendapat kata sepakat ahli Jawatankuasa Fatwa dalam kalangan ulama' dan pakar, bukan pandangan seorang mufti semata-mata.

Khutbah menjelaskan tindakan itu selaras Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, seksyen 48(2) dengan mufti perlu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan fatwa yang dicadangkan.

"Berdasarkan enakmen ini, maka fatwa adalah keputusan kolektif pandangan para alim ulama’ dan pakar bidang tertentu, supaya keputusan dikeluarkan lebih tepat seterusnya membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat," menurutnya.

Mimbar juga mengingatkan fatwa yang dikeluarkan perlu membawa kestabilan dan keamanan sesebuah negeri atau negara, selain bersifat menyelesaikan masalah dan merungkai persoalan masyarakat.

"Bukan fatwa sekiranya pandangan dibuat golongan berkepentingan, ahli politik, pelampau agama, golongan sesat dan orang-orang jahil. Kebiasaanya akan menyebabkan perpecahan, keganasan, kekusutan serta mencetus kebimbangan kepada masyarakat," jelasnya.

Selasa lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab juga perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

Baginda bertitah fatwa yang dikeluarkan ahli politik boleh mencetuskan perbalahan, perpecahan dan keganasan dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619