AGENDA

Maklumat tidak lengkap, polis tolak penganjuran himpunan esok

15 Sep 2023, 12:00 AM
Maklumat tidak lengkap, polis tolak penganjuran himpunan esok

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak permohonan penganjur perhimpunan yang dirancang pada Sabtu ini, kerana maklumat yang dikemukakan tidak lengkap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata antara butiran yang tidak dinyatakan secara terperinci oleh penganjur, ialah lokasi dan nama penganjur perhimpunan ketika membuat permohonan.

“Kami tidak boleh kata terima notis pemakluman sebab maklumat diberikan tidak lengkap, maka polis tidak boleh terima.

“Sebelum ini, dikatakan perhimpunan akan dibuat di sekitar sebuah pusat beli-belah di ibu negara, namun maklumat terkini diterima polis menyatakan ia akan dibuat di salah sebuah masjid di Kampung Baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, malam tadi.

“Ia tidak membantu kami, sebab tiada ketetapan daripada penganjur. Ini akan sukarkan ramai pihak termasuk pengguna jalan raya, saya amat berharap penganjur bertanggungjawab bantu kami untuk selaraskan penugasan pada Sabtu ini,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan PDRM, sekali gus akan membuat persediaan sewajarnya jika perhimpunan itu dibuat.

“Polis tidak mahu bertindak berlebihan dan kami akan membuat persediaan. Saya percaya mereka individu berpengalaman dalam menganjurkan perhimpunan seperti ini dan faham mengenai implikasi undang-undang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis sudah menerima enam laporan berhubung penganjuran perhimpunan itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619