AGENDA

Operasi hormat undang-undang fasa dua bermula Jumaat ini di 16 lokasi

13 Sep 2023, 2:22 PM
Operasi hormat undang-undang fasa dua bermula Jumaat ini di 16 lokasi

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Fasa 2 pada waktu puncak melibatkan 16 lokasi di sekitar ibu negara selama dua minggu bermula Jumaat ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata operasi bersepadu siri kedua itu dilaksanakan susulan maklum balas positif orang ramai sebelum ini terhadap kepatuhan peraturan jalan raya pada siri pertama dari 1 hingga 31 Julai lalu.

"Seperti mana (yang) saya selalu nyatakan selain daripada kita mahu Kuala Lumpur ini selamat, kita juga mahu mereka patuh kepada peraturan seperti parkir, lampu isyarat, isyarat lalu lintas dan sebagainya.

"Jadi, itulah objektif kita supaya kehidupan di Kuala Lumpur ini lebih teratur dan tiada halangan atau pun sekatan khususnya pada waktu puncak," katanya pada sidang media mengenai operasi itu, di sini, hari ini.

Allaudeen berkata pelaksanaan operasi kedua itu melibatkan 16 persimpangan, antaranya, Persimpangan Jalan Tun Razak/Jalan Ampang, Persimpangan Jalan Tun Razak/Jalan Semarak, Persimpangan Jalan Raja Laut/Jalan Sultan Ismail, Persimpangan Jalan Bukit Bintang/Jalan Raja Chulan dan Persimpangan Jalan Imbi/Jalan Sultan Ismail.

Katanya, selain polis, operasi bersepadu itu turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar membabitkan 1,000 anggota dan pegawai.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619