AGENDA

Kerajaan hasrat bangun projek rintis Perumahan Inklusif Madani di bandar utama

11 Sep 2023, 6:17 AM
Kerajaan hasrat bangun projek rintis Perumahan Inklusif Madani di bandar utama

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Projek rintis Perumahan Inklusif Madani akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar utama seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pembinaan itu melibatkan 800 unit rumah dengan pelbagai saiz ruang lantai bagi menampung keperluan golongan sasar yang berbeza.

"Selain itu, tumpuan juga akan diberikan untuk meneroka potensi perkampungan persaraan yang inklusif bagi persediaan menghadapi impak negara menua," katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 di Parlimen hari ini.

Anwar berkata kerajaan sentiasa cakna dalam soal perumahan dan menjadikannya sebagai agenda utama yang tidak boleh dikompromi.

"Harga rumah dan kadar sewa yang semakin meningkat telah membebankan rakyat. Dengan penglibatan semua sektor awam dan swasta, sasaran kita untuk membina 500,000 unit Rumah Mampu Milik dalam RMK12 akan ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 108,373 unit Rumah Mampu Milik telah dibina sehingga akhir 2022.

Perdana Menteri berkata anjakan utama Perumahan Rakyat akan terus ditambah baik melalui peralihan daripada konsep pemilikan kepada konsep tempat tinggal agar rakyat mempunyai tempat tinggal yang selamat dan selesa.

"Skim Sewa untuk Beli akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai kumpulan sasar dapat memiliki rumah. Selain itu, inisiatif penyediaan tempat tinggal secara sewaan kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan bandar utama yang telah dilaksanakan di beberapa tempat seperti di Johor dan Selangor akan dipertingkatkan lagi," katanya.

Aspek perumahan merupakan tumpuan kedua dalam membangun masyarakat sejahtera untuk mengangkat darjat hidup rakyat termasuk kerohanian, kesihatan, perpaduan sosial dan pemerkasaan masyarakat Madani.

KSP RMK12 bertema “Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi" merangkumi kajian semula sasaran, strategi, inisiatif, program dan projek pembangunan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619