AGENDA

Promosi produk Malaysia, jemaah pakai batik ketika program umrah

8 Sep 2023, 3:30 PM
Promosi produk Malaysia, jemaah pakai batik ketika program umrah

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga agensi berkaitan pelancongan dan umrah bagi pembudayaan pemakaian batik khususnya bagi jemaah umrah Malaysia dalam usaha mempromosi produk tekstil batik ke luar negara.

Tiga agensi berkenaan ialah Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Pelancongan (Papuh), Persatuan Syarikat Pengendali Pelancongan Bumiputera (Bumitra) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (Matta).

Memorandum itu ditandatangani Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan ‘Ainu Sham Ramli mewakili agensi itu, manakala Papuh diwakili Timbalan Setiausahanya Datuk Prof Dr Wan Toren Wan Yusoff, Bumitra diwakili presidennya Harun KC Ammu, dan Matta oleh Timbalan Presiden Sheikh Awadh Abdullah.

Majlis itu turut disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohd Zamri Mat Zain.

Mohd Zamri ketika ditemui pemberita berkata kementerian itu menyasarkan pemakaian batik dalam kalangan jemaah umrah Malaysia bakal bermula seawal November atau Disember apabila tiba cuti persekolahan.

“Ini salah satu usaha agresif kementerian dengan persatuan pelancongan serta umrah untuk mengetengahkan identiti batik Malaysia di luar negara kerana pemakaiannya adalah manifestasi jati diri sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perbadanan Kemajuan Kraftangan, Abdul Halim Ali berkata MoU itu akan membolehkan pengendali umrah atau pelancongan menyediakan pakej yang bersesuaian dengan pemakaian batik Malaysia untuk aktiviti lain selain mengerjakan ibadat umrah.

“Biasanya akan ada program outbound semasa mengerjakan umrah seperti aktiviti ziarah, jadi program seperti ini boleh digalakkan untuk pemakaian batik seperti telekung dan kemeja batik, jadi akan nampak ‘team’ warna korporat, bergantung kepada pakej yang disediakan,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619