AGENDA

Agong, Permaisuri berangkat ke Brunei sebelum terus kembara di Sarawak

8 Sep 2023, 7:39 AM
Agong, Permaisuri berangkat ke Brunei sebelum terus kembara di Sarawak
Agong, Permaisuri berangkat ke Brunei sebelum terus kembara di Sarawak

MIRI, 8 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Brunei, selepas singgah di Lawas, Sarawak malam tadi.

Menurut kenyataan Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Hassanal Bolkiah serta isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman.

Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat tiba di hotel penginapan di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 11.20 malam selepas melalui Pos Kawalan Imigresen Labu Temburong, Lawas.

Turut menyambut keberangkatan pasangan diraja itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan negara itu Datuk Seri Setia Awang Muhammad Juanda Abdul Rasyid.

“Seri Paduka berdua bersemayam di Bandar Seri Begawan sebelum menyambung Kembara Kenali Borneo ke bandar raya Miri, esok,” menurut kenyataan itu yang dikongsikan kepada Bernama hari ini.

[caption id="attachment_601694" align="alignnone" width="961"] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyantuni rakyat di perkampungan budaya Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) pada 7 September 2023. Foto Facebook Istana Negara[/caption]

Esok, Kembara Kenali Borneo akan memasuki semula Sarawak menerusi Miri dan beberapa acara sambutan turut dirancang sebelum bergerak ke Bekenu dan Bintulu pada keesokannya.

Kembara Kenali Borneo di Sarawak turut melibatkan persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum dilengkapkan dengan perjalanan ke Telok Melano, Lundu di selatan Sarawak pada 13 Sept ini.

Kembara Kenali Borneo yang bertujuan merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, telah mengakhiri pengembaraan di Sabah semalam yang bermula pada 3 Sept lepas.

Pengembaraan selama 11 hari itu melibatkan jarak perjalanan sejauh 2,154 kilometer dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619