AGENDA

Hasrat OKU lumpuh kaki bertemu Agong, Permaisuri tercapai

7 Sep 2023, 8:43 AM
Hasrat OKU lumpuh kaki bertemu Agong, Permaisuri tercapai

PENAMPANG, 7 SEPT: Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk menyantuni rakyat di Sabah sempena Kembara Kenali Borneo digunakan sepenuhnya rakyat untuk bertemu pasangan diraja dan rombongan.

Peluang dan kesempatan yang ada pada hari terakhir konvoi itu berada di Sabah membuatkan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) Mat Jali Husmin, 44, berusaha berada di perkampungan budaya Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, destinasi persinggahan pertama konvoi Kembara Kenali Borneo yang kini dalam perjalanan ke bahagian selatan negeri itu.

Berkongsi cerita kepada Bernama, Mat Jali yang berkerusi roda kerana lumpuh bahagian kaki sejak lahir, berkata beliau nekad mahu bertemu Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dan sanggup datang berseorangan dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing, ke KDCA.

Mat Jali mengetahui tentang keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah melalui pelbagai berita yang disiarkan sejak beberapa hari lepas.

“Saya sudah rancang dari kelmarin lagi (mahu bertemu Seri Paduka berdua). Sudah tunggu dari 7 pagi tadi di sini. Syukur, Alhamdulillah saya dapat bertemu dengan Tuanku.

“Saya rasa amat gembira, terharu dan seronok dapat jumpa dengan Tuanku (Seri Paduka berdua) kerana bukan selalu Tuanku datang (berkenan berangkat) ke Sabah, hanya sekali-sekala sahaja kan,” katanya yang tinggal di Menggatal, sebuah bandar kecil yang terletak kira-kira 20 kilometer dari KDCA.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyantuni dan bersalaman dengan Mat Jali sebelum melawat pameran mengenai kehidupan tradisi suku kaum rakyat Sabah di KDCA.

Seri Paduka berdua hari ini meneruskan perjalanan ke Masjid Sahabat, Sindumin, Sipitang bagi Majlis Santapan Tengah Hari bersama Rakyat sebelum menuju Lawas, bandar paling utara di Sarawak dan kemudiannya memasuki Brunei.

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak, sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619