AGENDA

Muhammad Hafizuddeain kini Panglima Tentera Darat baharu

6 Sep 2023, 7:36 AM
Muhammad Hafizuddeain kini Panglima Tentera Darat baharu

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Timbalan Panglima Tentera Darat (PTD) Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dilantik sebagai PTD yang ke-30 berkuat kuasa hari ini.

Muhammad Hafizuddeain, 55, turut dinaikkan pangkat sebagai Jeneral dan mengambil alih jawatan nombor satu dalam Tentera Darat daripada Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas PTD disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Muhammad Hafizuddeain, 55, yang dilahirkan di Segamat, Johor pada 18 April 1968, sebelum ini dilantik sebagai Timbalan PTD pada 23 Mac tahun ini.

Mendapat pendidikan menengah dari Maktab Tentera Diraja pada 1985, Muhammad Hafizuddeain memulakan khidmat pada 19 Ogos 1986 sebagai Pegawai Kadet sebelum ditauliahkan sebagai Lt Muda dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dua tahun kemudian.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memiliki pengalaman yang cukup luas kerana telah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai pemerintah, staf dan jurulatih.

Sepanjang perkhidmatan, beliau juga menghadiri pelbagai kursus antaranya Diploma Sains Pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara, Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, Sarjana Pengurusan di Filipina, Infantry Officer Advance Course di Amerika Syarikat dan Royal College of Defence Studies di United Kingdom.

Antara jawatan penting yang pernah disandang Muhammad Hafizuddeain ialah Pegawai Memerintah di Batalion Keempat RAMD (2003-2005), Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia (2018-2020) dan Panglima Medan Barat Tentera Darat (2021-2023).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Staf di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (2009-2010), Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Dasar MINDEF (2014-2016) dan Ketua Staf di Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (2016-2017).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619