AGENDA

Empat menu air tangan permaisuri istimewa untuk penduduk Lahad Datu

4 Sep 2023, 3:40 PM
Empat menu air tangan permaisuri istimewa untuk penduduk Lahad Datu

LAHAD DATU, 4 SEPT: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menyediakan empat menu ‘air tangan’ baginda iaitu ikan bilis masak kicap, ikan bilis masak asam, udang berlada dan bubur lambuk untuk penduduk Lahad Datu.

Baginda memasak juadah itu bagi Majlis Santapan Bersama Rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di luar pekarangan Dewan Perdana di sini yang menjadi tumpuan ratusan penduduk sekitar kerana ingin menyaksikan sendiri kepakaran Tunku Azizah yang amat dikenali dalam bidang masakan.

"Bilis banyak di sini, jadi saya masak menu ikan bilis masak kicap dan sedikit ikan bilis masak asam," titah Tunku Azizah sambil tangan baginda lincah memotong bawang putih, bawang besar dan lada merah.

Tunku Azizah, yang menyediakan masakan itu dengan bantuan petugas Istana Negara dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), juga berkenan memeriksa penyediaan bubur lambuk malah menyukat serta memasukkan sendiri rempah ratus yang diperlukan dalam masakan yang dihidangkan kepada tetamu serta orang ramai yang hadir.

Timbalan Pengerusi Puspanita Lahad Datu Mahasitah Amin berkata peluang membantu Raja Permaisuri Agong memasak adalah sesuatu yang tidak datang selalu dan mungkin sekali seumur hidup.

"Teruja tidak dapat digambarkan mendapat perkhabaran Puspanita membantu Raja Permaisuri Agong, ahli Puspanita lain turut gementar dan mula membuat persiapan sejak semalam lagi, kita juga bekerjasama dengan istana dan kita menyediakan segala bahan seada dan semampunya demi Tuanku Permaisuri," katanya.

Beliau berkata 31 ahli Puspanita menyediakan bahan masakan terutama daun lamiding yang menjadi bahan pilihan ramai dalam menyedapkan bubur lambuk.

"Daun lamiding sangat susah ditemui, ahli kami terpaksa masuk ke pelosok kampung untuk mencarinya dan dapatlah untuk hari ini sebagai antara bahan utama menu bubur lambuk Raja Permaisuri Agong," katanya.

Mahasitah berkata hari ini, ahli Puspanita turut memasak juadah seperti ayam kam cheong, kerabu peria dan ikan kari mamak untuk 300 petugas pada majlis santapan di dewan itu.

Penduduk Kampung Sri Aman, Ain Balkisyah Mat, 23, berkata beliau tertarik dengan gaya dan cara Tunku Azizah yang dilihatnya seperti kaum ibu yang memasak di dapur selain amat pakar dalam mengendalikan perkakasan berkaitan.

"Saya bangga dapat melihat sendiri Raja Permaisuri Agong memasak walaupun terpaksa bersesak-sesak dengan ramai orang. Sebelum ini pernah melihat Tunku Azizah memasak dan baca berita hobi baginda yang suka memasak dan kini dapat melihat sendiri baginda memasak dan merasai air tangan Permaisuri," katanya.

Bagi penduduk Kampung Sepagaya, Fadhil Seli, 27, beliau cukup teruja dan bersyukur kerana dapat menikmati air tangan Raja Permaisuri Agong yang memasak udang berlada iaitu juadah kesukaannya.

"Terima kasih Tuanku kerana memasak sendiri empat jenis juadah walaupun dilihat mudah tetapi jika diteliti perjalanan Tuanku dari Tawau ke Lahad Datu bermula 8.30 pagi dan tiba petang di sini, dapat dibayangkan kepenatan namun masih kuat memasak," katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah berangkat melakukan perjalanan Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Kuching merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Turut berangkat mengikuti program Kembara Kenali Borneo sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo ialah paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619